Daisypath Vacation tickers

Wednesday, 18 April 2012

TRIP TO MALACCA PART TWO (2)...

Assalamualaikum...

Seperti mana janji aku dengan followers, kali ni aku nak cter trip aku kat Melaka Part 2.. Jom kita singgah jap kat Istana ni..Kali ni aku nak cter pasal istana ni pulak..Istana Kesultanan Melaka (replika Istana Kesultanan Melayu Melaka) terletak di kaki Bukit St. Paul.  Replika istana yang siap dibina pada 1984 direka berdasarkan catatan Sejarah Melayu yang menggambarkan keunikan seni bina istana Melayu di zaman Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka antara tahun 1456 dan 1477. (Hmmm lama kan Sultan Mansur Shah memerintah Melaka..!!!)


Muzium tiga tingkat ini pada asalnya diberi nama Muzium Budaya sebelum bertukar nama kepada Muzium Istana Kesultanan Melaka pada tahun 2005 yang sesuai dengan fungsinya memelihara warisan Kesultanan Melayu Melaka. Struktur muzium ini dibina dengan menggunakan kayu keras manakala atap muzium itu dibina menggunakan kayu jenis Belian dan muzium itu dibina menggunakan sistem pasak tanpa menggunakan paku.





Ni laaa Istana Kesultanan Melaka...!!

Jom kita masuk...!!!! Of course kita pergi tingkat satu dulu kan???
Tingkat satu muzium itu menempatkan sebuah Balairung Seri, satu beranda utama sebagai tempat menyambut tetamu, enam beranda anak yang digunakan sebagai tempat menunggu untuk menghadap Sultan, sebuah ruang untuk menyambut tetamu dan sebuah ruang perbincangan.
Balairung Seri muzium itu mempamerkan diorama suasana sebenar ketika pembesar menghadap Sultan untuk membincangkan hal ehwal negeri manakala beranda di sekeliling tingkat itu mempamerkan enam diorama menggambarkan suasana zaman itu di mana pemain-pemain nobat yang mengalunkan muzik nobat untuk Sultan dan meraikan kedatangan pedagang asing ke negeri ini.




Balairung Seri..



Pembesar menghadap Sultan



Maharaja China 


Pemain muzik nobat

Aku nak pergi sebelah sana pulak..Kita tengok apa yang istimewa kat situ selain Balairung Seri. Rupa-rupanya bahagian yang paling istimewa di sini adalah diorama yang dipamerkan di ruang perbincangan, iaitu pertarungan dua pahlawan legenda zaman itu, Hang Tuah dan Hang Jebat yang mempertahankan prinsip masing-masing. Mesti korang dah sedia maklum tentang kehebatan kedua-dua orang pahlawan ni kan?? Selain itu, ia juga mempamerkan pelbagai fakta sejarah yang memaparkan sejarah hidup dua sahabat yang disanjung sehingga ke hari ini.

Ni aku nak citer sikit sejarah Hang Tuah dan Hang Jebat :
Hang Tuah ialah seorang pahlawan legenda berbangsa Melayu pada masa pemerintahan Kesultanan Melaka di abad ke-15 (Kesultanan Melayu Melaka) bermula pada 1400-1511 A.D. ) Menurut rekod sejarah, beliau lahir di Kampung Sungai Duyong, Melaka kira-kira dalam tahun 1444 A.D. Bapanya bernama Hang Mahmud manakala ibunya pula ialah Dang Merdu Wati. Bapanya juga pernah menjadi hulubalang istana yang handal suatu ketika dulu, begitu juga dengan ibunya yang merupakan keturunan dayang di istana. Hang Tuah ialah Laksamana yang terkenal dengan kesetiaannya kepada Raja dan merupakan petarung silat yang amat handal dan tiada tolok bandingnya.
Hang Tuah dan empat orang kawannya: Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu menuntut ilmu bersama Adiputra di Gunung Ledang. Selesai menuntut ilmu, mereka berlima kembali ke kota Melaka.
Pada suatu hari, mereka berjaya menyelamatkan Dato' Bendahara (iaitu Perdana Menteri) daripada seorang lelaki yang sedang mengamuk. Dato' Bendahara kagum dengan ketangkasan mereka dan menjemput mereka semua ke rumahnya dan seterusnya mengambil mereka untuk bertugas di istana.
Sejak itu Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya amat disayangi oleh Sultan sehinggalah Hang Tuah mendapat gelaran Laksamana. Semasa mengiringi Sultan Melaka ke Majapahit di tanah Jawa, Hang Tuah telah berjaya membunuh seorang pendekar Jawa bernama Taming Sari. Dalam pertarungan itu Taming Sari, adalah seorang pendekar yang kebal yang tidak dapat dilukakan. Tetapi Hang Tuah mengetahui bahawa kekebalan Taming Sari terletak pada kerisnya. Oleh itu Hang Tuah berjaya merampas keris berkenaan dan membunuh Taming Sari. Keris itu kemudiannya dianugerahkan oleh Betara Majapahit kepada Hang Tuah. Pemilik keris ini akan turut menjadi kebal seperti pendekar Jawa Taming Sari.
Hang Tuah telah diutuskan ke Pahang bagi mendapatkan Tun Teja untuk dijadikan permaisuri Sultan Melaka. Ketika Hang Tuah ke Pahang, Melor turun dari Gunung Ledang mencari Hang Tuah. Melor telah ditawan oleh Tun Ali atas hasutan Patih Karma Vijaya bagi dijadikan gundik Sultan. Atas muslihat Tun Ali juga, Hang Tuah yang kembali dari Pahang akhirnya dapat berjumpa Melor, tetapi Sultan juga turut menyaksikan perbuatan Hang Tuah itu. Melor dan Hang Tuah dihukum bunuh kerana difitnah berzina disebabkan Melor telah menjadi gundik Sultan. Namun, hukuman mati tidak dilaksanakan oleh Bendahara sebaliknya Hang Tuah disembunyikannya di sebuah hutan di Hulu Melaka.
Hang Jebat telah dilantik oleh Sultan menjadi Laksamana menggantikan Hang Tuah dan keris Taming Sari telah dianugerahkan kepada Hang Jebat. Hang Jebat sebagai sahabat karib Hang Tuah, menyangka bahawa Hang Tuah telah teraniaya dan telah menjalani hukuman mati. Hang Jebat (menurut Hikayat Hang Tuah) atau Hang Kasturi (menurut Sejarah Melayu), bertindak untuk menderhaka kepada Sultan dan mengambil alih istana. Tidak ada pendekar atau panglima di Melaka yang dapat menentang Hang Jebat yang telah menjadi kebal kerana adanya keris Taming Sari di tangannya.
Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri dan berlindung di rumah Bendahara. Pada masa itu baginda berasa menyesal kerana membunuh Hang Tuah yang tidak bersalah. Inilah masanya Bendahara memberitahu yang Hang Tuah masih hidup. Hang Tuah kemudiannya telah dipanggil pulang dan dititahkan membunuh Hang Jebat. Setelah tujuh hari bertarung, Hang Tuah akhirnya berjaya merampas semula Taming Sarinya daripada Hang Jebat dan membunuhnya.
Dalam pertarungan yang sedih ini, Hang Jebat telah cuba membela sahabatnya yang telah difitnah. Namun begitu, Hang Tuah telah membantu sultan yang sebelum itu menghukumnya tanpa sebarang alasan. Sedangkan Abu Bakar Siddiq R.A juga berkata kepada orang Muslim bahawa jika dia bersalah, rakyat boleh menjatuhkannya. Ternyata, kesilapan Hang Tuah yang tidak berfikir bahawa Allah S.W.T lebih berkuasa dari Sultan dan memang tidak salah Hang Jebat cuba menegakkan kebenaran. Tragedi ini masih menjadi perbalahan orang Melayu sehingga sekarang.
Namun begitu, ada juga yang menyokong Hang Tuah. Ini kerana Hang Jebat bukan saja menderhaka kepada Sultan bahkan telah membunuh ramai rakyat Melaka yang tidak berdosa dengan mengamuk di dalam istana dan seluruh Melaka. Tindakan Hang Tuah yang membunuh Hang Jebat mungkin satu tindakan yang berupa hukuman mati terhadap pembunuh.
Sumpah yang terkenal daripada Hang Tuah ialah "Takkan Melayu hilang di dunia" yang bererti bangsa Melayu tidak akan rosak di bumi ini.




Gambaran pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat


Kekecohan yang berlaku ketika Hang Jebat menuntut bela

 Sape yang intai ni..????


Ramai pedagang yang singgah di Melaka

Kat sini aku nak bagi info pasal keris pulak..Orang zaman dahulu berasa amat bangga jika memiliki sebilah keris tapi orang zaman sekarang lebih berbangga jika dapat memiliki iPhone,iPad,handphone dan lain2...perbezaannya bagai langit dan bumi kan??? tapi betul laa orang kata, barang yang digunakan mestilah sesuai dengan kehendak zaman...tak logik pulak kalau nak guna keris pada zaman sekarang kan?? Info macam ni boleh tambah sedikit pengetahuan kita tentang sejarah kan walaupun SPM dah abis tapi ilmu tu tetap perlu dicari...


KEHEBATAN KERIS...????

Keris Taming Sari milik Hang Tuah misalnya dikatakan mempunyai pelbagai kesaktian seperti melindungi tubuh penggunanya daripada dicederakan oleh mana-mana senjata.


Sememangnya keris ialah senjata kebanggaan penduduk Nusantara yang hanya terdapat di Malaysia, Indonesia, Brunei, selatan Thailand dan selatan Filipina. ( Negara Asia Tenggara je guna keris ni )..Namun, disebabkan keadaan Kepulauan Nusantara yang terpisah antara satu sama lain menyebabkan senjata-senjata tradisional telah mengalami perkembangan yang berbeza – beza.
Keris merupakan senjata pendek yang digunakan oleh orang Melayu sejak zaman keagungan pemerintahan Kesultanan Melayu, lebih daripada 800 tahun yang lampau terutamanya pendekar, pahlawan serta kalangan pembesar istana. Satu alat kebesaran bagi raja-raja atau lambang kekuasaan atau kedaulatan. Keris mempunyai dua belah mata, melebar di pangkal dan tirus dihujungnya serta tajam. Terdapat mata keris yang lurus dan berlok-lok dengan keindahan pamor serta hulu yang menarik dan juga sarungnya. Keris mempunyai berbagai-bagai bentuk dan ukuran. Kebanyakan keris terdiri dari jenis yang berlok, sama ada tiga, lima, tujuh atau sembilan dan lurus.


Tiga aspek penting mata keris adalah rupa awan larat dan corak pamor, bentuknya dan corak berombak yang wujud dari campuran logam dan nikel. Sejarah senjata di Malaysia amat rapat dengan unsur-unsur seni mempertahankan diri seperti silat. Keterampilan reka cipta Pandai Besi (pembuat keris) maka kepelbagaian alat senjata telah terhasil, antara yang amat digemari sehingga kini seperti keris, parang, kelewang, beladau, tombak dan banyak lagi.









Jom kita naik ke tingkat dua pulak.. Tingkat kedua muzium itu pula menempatkan replika sebenar bilik beradu Sultan Melaka yang lengkap dengan perabot serta perhiasannya dan menurut cerita pada zaman itu, sesiapa yang memasuki bilik itu tanpa kebenaran Sultan akan dihukum pancung. Huh...!!!! Kejamnya..!!!!
Ruang khazanah di tingkat tiga pula digunakan sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis senjata lama dan barang-barang lama yang tidak dipamerkan kerana ia merupakan khazanah yang paling berharga..Agaknya lah kan??? dan bilik ini sentiasa dikawal suhu serta keadaan persekitarannya supaya barang yang disimpan kekal dalam keadaan baik.
Perkarangan kawasan muzium itu tidak kurang hebatnya dengan adanya kota A'Famosa dan tapak penggalian arkeologi Kota Melaka, Bastion Hendrieta Louisia yang sedang diselidik oleh Jabatan Warisan Negara.


Bilik beradu Sultan


Sebahagian khazanah yang terdapat di sini..


sempat lagi aku bergambar kat patung ni...hehehehe

Muzium Istana Kesultanan Melaka juga menempatkan pelbagai jenis barangan daripada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Antaranya ialah artifak sebenar pada zaman itu yang kebanyakannya diperoleh daripada masyarakat Melaka sendiri yang mewarisi barangan itu daripada nenek moyang mereka dan ada juga sesetengah replika yang diolah semula.
Mungkin ramai yang tidak mengetahui masyarakat Melayu di Nusantara ini merekabentuk beberapa jenis meriam antaranya meriam kecil mudah alih yang diberi nama 'Ekor Lotong' yang panjangnya kira-kira 250cm. Korang kira sendiri laa panjang ke tak...dan untuk pengetahuan korang jugak,
muzium itu juga menempatkan tiga meriam Ekor Lotong di samping lebih 30 keris pelbagai jenis, kebanyakannya jenis Keris Semenanjung berhulu Jawa Demam, lebih 15 bilah parang pelbagai jenis dan lebih 20 tombak pelbagai jenis. Masa aku tengok benda-benda ni kan, rasa nak amik wat koleksi kat rumah je..Sebab banyak sangat, dapat 1 pon dah kira ok kan???




Haaa...ni pedang yang ada kat sini..


Silaunye gambar ni..tapi just nak show tombak ni jerrr...

Di samping itu, pelbagai jenis pakaian ditempatkan di muzium itu di mana lebih 20 set pakaian tradisional masyarakat Melayu di setiap negeri di Malaysia dipamerkan. Di antaranya Baju kurung Teluk Belanga yang lebih dikenali sebagai baju kurung atau baju kurung Johor. Baju ini boleh dipakai oleh kaum lelaki dan wanita. Baju kebaya dan baju kurung cekak musang juga turut dipamerkan. Aku ni bukan tahu sangat pasal baju kurung ni tapi takkan masa tengok baju ni,nak tengok saje kan??? So, baca laa serba sedikit apa yang tertulis. Lagipun tu pun kira ilmu jugak. Tak rugi pun kalau tahu sekadar untuk pengetahuan. Paling istimewa di bahagian pameran pakaian ini juga ialah pameran 10 jenis lipatan tanjak yang hanya boleh dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong dan sembilan Sultan yang masih memerintah. Kalau korang nak tahu, menjadi satu kesalahan untuk rakyat biasa (macam kita) memakai tanjak yang dilipat berdasarkan lapan jenis lipatan ini antaranya "Lipatan Dendam Tak Sudah" yang hanya boleh dipakai Yang di-Pertuan Agong ,"Lipatan Ketam Budu" yang hanya boleh dipakai Sultan Kelantan dan "Lipatan Singa Menoleh" yang hanya boleh dipakai Sultan Johor.




Ni lipatan berbentuk bunga...maybe lipatan kain songket kot...


ada berbagai jenis lipatan tanjak mengikut negeri masing2..


Ni pakaian tradisional Kelantan..



yang ni mungkin Baba dan Nyonya





Ni baju kebaya labuh tapi x ingat negeri mana...


Kalau x silap, ni pakaian tradisional Pulau Pinang..




Selain itu, muzium ini juga menempatkan lebih 20 jenis tembikar. Kebanyakannya jenis tembikar Cina dan lebih daripada 30 barangan tembaga. Kat sini jugak turut mempamerkan pedang bangsawan Melayu, tepak sireh, pahar dan cucuk sanggul.



Ada berbagai jenis...!! 


Keciknya tembikar ni...!!


Unik kan tembikar ni...??

Ni barangan tembaga..


Banyaknya cucuk sanggul..!!


Ni pulak cincin emas yang dipakai golongan Diraja


Ni adalah kerongsang yang dipakai oleh permaisuri...

Tapi kat sini yang paling menarik perhatian aku adalah terdapat lebih 10 replika kecil istana tradisional di Malaysia. Antaranya Istana Seri Menanti di Negeri Sembilan dan Istana Kenangan di Perak. Di samping itu, muzium ini juga mempamerkan Istana Tradisional di Indonesia. Antaranya Istana Pagaruyung di Batu Sangkar dan Istana Sayap Pelalawan di Riau. Hohoho...Menarik tak??? Aku suka sangat dengan replika yang bentuknya kecil...Dahlaa comel,kemas pulak tu...!!!


replika istana...


batu bersurat..!!


Muzium ini dibuka pada setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 5.30 petang dan tiket pula berharga RM2 untuk orang dewasa dan RM0.50 untuk kanak-kanak atau pelajar sekolah. Murah je kan??? So, kalau pergi Melaka, jangan lupa singgah kat muzium ni...

Ketika zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah, bahasa pertuturannya ialah lebih daripada 80 jenis bahasa. Aduiiii....!!! Banyaknya...!!!! tapi kagum kan sebab ramai pedagang yang singgah di Melaka.
Sememangnya, Melaka amat dikagumi oleh masyarakat dunia apabila Melaka diiktiraf sebagai Bandaraya Warisan Dunia oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organisation (Unesco) pada 7 Julai 2008.
Secara keseluruhannya, muzium ini memperlihatkan fungsi dan peranan istana ketika itu dengan memaparkan pelbagai sejarah dan barangan yang melambangkan ketamadunan masyarakat Melayu.

-- Sumber daripada BERNAMA—




P/S : Sorry, terpaksa update entry ni cepat2 memandangkan lebih 2 minggu x update...sibuk sangat2 dengan assignment...Insya Allah trip aku yang ketiga akan diupdate kan secepat mungkin...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...